LOS ANGELES, 19 Disember- Juri Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengarahkan sebuah syarikat kimia, Monsanto membayar pampasan sejumlah AS$857 juta kepada tujuh orang pelajar di barat Washington yang didakwa mengalami sakit selepas bahan kimia berkenaan bocor daripada alatan lampu.
Keputusan tersebut merupakan tamparan buat Mosanto yang sebelum itu tewas dalam kes mahkamah berhubung racun rumpai jenama 'Roundup' yang didakwa menyebabkan penyakit barah kepada pengguna.
Dalam penghujahan berkenaan, pihak juri berkata syarikat berkenaan yang dimiliki oleh syarikat farmaseutikal gergasi Jerman Bayern telah menjual alatan kelengkapan lampu yang mengandungi 'Polychlorinated biphenyls' (PCBs) yang didakwa menyebabkan ketujuh-tujuh pelajar tersebut jatuh sakit.
Monsanto diarahkan membayar sejumlah AS$73 juta pampasan dan AS$784 juta sebagai ganti rugi punitif kepada plaintif dalam kes berkenaan.
Peguam Felix Luna, yang mewakili plaintif, memberitahu juri Monsanto telah terlibat dalam penipuan selama bertahun-tahun bagi menutup tentang kesan berbahaya PCB.
"Monsanto, tidak pernah memberi amaran kepada sesiapa bahawa (PCB) akan bertahan lebih lama daripada apa sahaja yang mereka letakkan," kata Luna dalam hujah penutupnya, menurut transkrip kes itu.
"Mereka tidak pernah memberi amaran kepada sesiapa bahawa apabila bahan kimia tersebut memasuki ke dalam badan dan ia adalah neurotoksik, berbahaya, atau PCB boleh membawa kepada keracunan sistemik.", tambah Luna.
Juri juga mendapati syarikat itu cuai dan mengarahkan jumlah pampasan yang berbeza-beza diberikan kepada tujuh plaintif, dengan masing-masing turut diberikan ganti rugi punitif AS$112 juta.
Semntara itu,jurucakap Monsanto berkata firma itu akan merayu keputusan berkenaan.
"Kami tidak bersetuju dengan keputusan itu dan akan meneruskan usul dan rayuan selepas perbicaraan untuk membatalkan keputusan ini dan untuk mengurangkan ganti rugi berlebihan mengikut perlembagaan yang diberikan," kata satu kenyataan.
"Bukti objektif dalam kes ini, termasuk ujian darah, udara dan lain-lain, menunjukkan bahawa plaintif tidak terdedah kepada tahap PCB yang tidak selamat.
"PCB tidak boleh menyebabkan kecederaan yang didakwa mereka (plantif)", tambah kenyataan itu lagi.-AFP