fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan: Puluhan penduduk di selatan Perancis dipindahkan

Kebakaran hutan di Frontignan di barat daya Perancis/ AFP

MARSEILLE, 19 Ogos- Berpuluh-puluh penduduk di bandar Frontignan di barat daya Perancis telah dipindahkan pada Ahad, susulan kebakaran hutan yang memusnahkan hutan pain berhampiran.

Menurut pihak berkuasa dalam platform X, sejumlah 600 anggota bomba, 11 pengebom air dan dua helikopter telah dikerahkan untuk mengawal kebakaran.

Kebakaran tersebut memusnahkan 300 hektar (740 ekar) tanah. Api marak berhampiran lebuh raya A9 dari Montpellier ke sempadan Sepanyol merebak ke pedalaman ke arah pergunungan Gardiole.

Frontignan sebuah bandar dengan 24,000 penduduk di barat daya Montpellier.

Datuk Bandar Frontignan memaklumkan pemindahan dilakukan pada Ahad dan berpuluh-puluh rumah masih berisiko. Penduduk yang dipindahkan ditempatkan di dewan sukan.

"Anggota bomba bertindak mengosongkan kolam renang pemilik rumah persendirian untuk mengawal kebakaran.

"Pihak bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran kerana angin kencang", katanya.

Jalan-jalan di bandar itu ditutup kepada lalu lintas bagi membolehkan anggota bomba dan penguatkuasa melaksanakan operasi dengan lebih lancar.-AFP

ROSLINA BINTI DIN