YELLOWKNIFE, 17 Ogos- Kebakaran hutan di utara Kanada semakin menghampiri ibu negara Wilayah Barat Laut dan dijangka merebak sehingga ke pinggir Yellowknife, jika tidak mengalami hujan.
Menurut kerajaan wilayah pada Rabu, Kanada sedang mengalami musim kebakaran hutan yang paling teruk dengan lebih 1,000 kebakaran aktif membara di seluruh negara termasuk 230 di Wilayah Barat Laut.
Ketua Menteri Wilayah Barat Laut, Caroline Cochrane berkata sebilangan penduduk Yellowknife telah meninggalkan bandar itu lebih awal, namun beliau menggesa orang ramai untuk kekal bertenang.
Selain itu, kerajaannya turut memberi amaran bahawa lebuh raya boleh ditutup secara tiba-tiba kerana risiko kebakaran.
"Saya tidak pernah melihat begitu banyak kenderaan meninggalkan bandar. Terdapat pelbagai jenis khabar angin di luar sana tetapi bersiap sedia dan berpindah jika perlu. Bertenang. Jangan panik," kata Cochrane.
(FOTO REUTERS)
Yellowknife mempunyai populasi sekitar 20,000 orang dan terletak 250 batu (400 kilometer) di selatan bulatan Artik.
NWT Fire berkata kebakaran hutan seluas 163,000 hektar (402,781 ekar) kini berada 17 kilometer dari Yellowknife dan berkemungkinan akan sampai ke Lebuh raya 3, satu-satunya lebuh raya yang menghubungkan bandar itu ke seluruh Kanada, pada Khamis.
Beberapa kawasan di sepanjang lebuh raya telah pun diarahkan berpindah.
"Terdapat risiko terhadap bandar Yellowknife. Pasukan kami, bersama City of Yellowknife, melakukan segala yang mungkin untuk memperlahankan pertumbuhan kebakaran ini dan melindungi komuniti," kata NWT Fire.
Wilayah Barat Laut mengisytiharkan darurat lewat Selasa dan tentera Kanada telah digerakkan untuk membantu menangani kebakaran dan membawa beberapa penduduk ke tempat selamat.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengenai situasi kebakaran hutan pada petang Rabu.
Trudeau mengesahkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan untuk membantu wilayah itu.
Kanada Barat sedang mengalami gelombang haba yang menyaksikan 19 rekod haba harian dipecahkan pada Selasa dan mencetuskan ratusan kebakaran hutan di luar kawalan.
Kebakaran telah melanda hampir semua 13 wilayah dan wilayah Kanada tahun ini, memaksa pemindahan rumah, mengganggu pengeluaran minyak dan gas dan menggunakan khidmat agensi pemadam kebakaran persekutuan serta antarabangsa.- REUTERS