RAFAH, 6 Mei- Penduduk Palestin di bandar Rafah di selatan Gaza menyuarakan rasa putus asa pada Isnin selepas Israel mengedarkan risalah menggesa mereka berpindah untuk keselamatan sendiri menjelang operasi ketenteraan di kawasan itu.
Tentera Israel berkata ia mengarahkan keluarga Palestin di timur Rafah untuk melarikan diri sebagai persediaan untuk serangan darat yang sudah dilancarkan di dua lokasi di bandar di sempadan antara Gaza dengan Mesir.
Penduduk Rafah dilihat keluar selepas serangan udara semalaman ke atas Rafah, dan menemui risalah yang dijatuhkan dari udara memberitahu mereka untuk 'bergerak segera'.
Kandungan risalah itu menyatakan bahawa "Tentera sedang bekerja dengan kuasa intensif menentang pasukan pengganas berhampiran anda".
"Demi keselamatan anda, pasukan pertahanan Israel (IDF) mengarahkan anda supaya berpindah segera ke arah zon kemanusiaan al-Mawasi yang diperluaskan," katanya, dengan peta menunjukkan lokasi di utara Rafah.
Jurucakap tentera Israel, apabila ditanya berapa ramai orang yang harus berpindah, berkata sekitar 100,000 orang perlu berbuat demikian.
Kira-kira 1.2 juta orang kini berlindung di Rafah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kebanyakannya melarikan diri ke sana semasa perang tujuh bulan antara Israel dan pejuang Hamas di Palestin.- AFP