VARANASI, India, 1 Jun- Jutaan penduduk di India keluar mengundi pada hari ini iaitu hari terakhir pilihan raya negara, ketika cuaca panas terik.
Kelihatan orang ramai beratur sejak awal pagi di luar pusat mengundi untuk mengatasi kepanasan di bandar Varanasi, di mana suhu melampau yang melanda selama seminggu menyebabkan kegiatan harian disekat.
Dengan suhu memuncak pada 44 darjah Celcius (111 darjah Fahrenheit) pada sebelah petang, ramai yang mengundi secepat mungkin dan pulang ke rumah sehingga suhu turun.
Gelombang haba menyebabkan puluhan kematian di serata India minggu ini, dedah pihak pemerintah dan media tempatan, dengan suhu memuncak melebihi 45 darjah Celsius di beberapa bandar.
Itu termasuk 10 pegawai pilihan raya di negeri timur Bihar, yang meninggal dunia dalam satu hari pada Khamis ketika mendirikan pusat pengundian.
Peratusan keluar mengundi menurun beberapa peratus sejak pilihan raya nasional terakhir.
Para penganalisis berkata suhu melebihi purata itu merupakan punca, serta jangkaan orang ramai bahawa Perdana Menteri India, Narendra Modi akan memenangi kuasa untuk penggal ketiga.
Suruhanjaya Pilihanraya India sekali lagi menegaskan pada Jumaat bahawa ia sudah mengarahkan pusat mengundi untuk "mengambil langkah yang mencukupi untuk menguruskan kesan cuaca panas" terhadap pengundi.
"Walaupun keadaan cuaca panas, pengundi telah hadir dalam jumlah yang besar di pusat mengundi," katanya dalam satu kenyataan.
Usaha untuk membantu orang ramai menangani cuaca panas itu kurang disaksikan di sebuah pusat mengundi di Varanasi.
Kakitangan mengundi dilihat menggunakan kanvas putih untuk melindungi mereka yang beratur daripada bahang cahaya matahari, dan memberikan minuman kepada pengundi yang haus.- AFP