fb fb fb fb fb

Jurugambar Ukraine terbunuh ditembak tentera Rusia

(Maksim Levin terbunuh ketika membuat liputan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine/REUTERS)

LVIV, 3 April - Maksim Levin, seorang jurugambar dan juruvideo untuk laman web berita Ukraine dan merupakan penyumbang berita kepada Reuters terbunuh ketika membuat liputan mengenai pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Levin meninggalkan isteri dan empat orang anak.

Mayatnya ditemui di sebuah kampung di utara ibu kota Ukraine Kiev pada 1 April, menurut laman web berita LB.ua yang juga media Levin berkhidmat.

Levin yang dilahirkan pada tahun 1981, adalah pembuat filem dokumentari yang banyak menyumbang kepada liputan berita Reuters di negara itu sejak 2013.

(Maksim Levin/REUTERS)

Ketika kejadian beliau sedang membuat liputan di kampung Huta Mezhyhirska dan difahamkan terdapat tembakan hebat di kawasan tersebut.

Pejabat pendakwa raya di Ukraine berkata Levin 'dibunuh oleh anggota tentera Rusia dengan dua das tembakan dari senjata kecil'.

Ini bagaimanapun tidak dapat disahkan secara bebas.

Editor pengurusan global Reuters untuk visual, John Pullman berkata mereka sedih mendengar kematian Maksim Levin.

"Levin telah memberikan gambar dan video menarik dari Ukraine kepada Reuters sejak 2013. Kematiannya satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan.

"Fikiran kami bersama keluarganya pada masa yang sukar ini," katanya.-REUTERS

Media Baharu