fb fb fb fb fb

Jualan Ikea catat penurunan 1%

Foto AFP

STOCKHOLM, 16 Oktober -Ikea melaporkan penurunan jualan sebanyak satu peratus bagi tahun kewangan 2024 hingga 2025 berikutan strategi penurunan harga serta sikap berhati-hati pengguna dalam berbelanja.

Menurut syarikat induknya, Inter Ikea, jualan bagi tahun penuh yang berakhir pada hujung Ogos lalu mencatatkan penurunan kepada 44.6 bilion euro (sekitar AS$52 bilion).

Bagaimanapun, jumlah pelanggan dan volum jualan meningkat sebanyak tiga peratus.

"Kami telah memberi keutamaan kepada penurunan harga, peningkatan volum dan pertumbuhan pelanggan sejak dua tahun lalu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Inter Ikea, Jon Abrahamsson Ring, kepada AFP.

Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, Ikea telah menurunkan harga sebanyak 10 peratus bagi menarik lebih ramai pelanggan ke kedai fizikal dan platform dalam taliannya.

Bagaimanapun, Ring menjelaskan bahawa keyakinan pengguna terus merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Tahun lalu menunjukkan sedikit kestabilan, tetapi tahap keyakinan masih sangat rendah berbanding dekad-dekad sebelumnya," katanya.

Keadaan itu mendorong pengguna untuk menangguhkan rancangan pengubahsuaian rumah atau pembelian perabot baharu.

"Fenomena ini bukan terhad kepada satu rantau sahaja. Kami melihatnya berlaku di semua 63 pasaran di mana Ikea beroperasi," tambah Ring.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ikea merancang untuk meneruskan strategi penurunan harga, namun pada kadar yang lebih stabil, iaitu antara satu hingga tiga peratus setahun. - AFP

TETITIA YUSOFF