fb fb fb fb fb

Jerman rancang haramkan ‘boiler’ minyak dan gas mulai 2024

(FOTO HIASAN)

BERLIN, 10 Mac- Jerman pada Khamis membentangkan rancangan kontroversi untuk mengharamkan pemasangan ‘boiler’ minyak dan gas baharu mulai 2024 bagi mempercepatkan peralihan kepada teknologi boleh diperbaharui.

Perubahan yang dirancang itu disifatkan sebagai ‘mendesak’, kata Menteri Ekonomi Robert Habeck kepada pemberita dalam satu sidang akhbar.

Jerman terpaksa ‘mengejar dalam masa yang singkat’ dalam fasa peralihan kepada pemanasan boleh diperbaharui, katanya lagi.

Tetapi dasar itu, yang dibocorkan kepada media tempatan minggu lalu, telah menambah ketegangan yang semakin meningkat dalam gabungan kerajaan, termasuk isu pemanasan iklim dan perbelanjaan kerajaan.

Rancangan itu kemudiannya mendapat reaksi tidak baik daripada Parti FDP  yang jelas marah terhadap cadangan yang disediakan oleh kementerian ekonomi dan perumahan, masing-masing diketuai oleh perwakilan daripada Demokrat Hijau dan Sosial.

Cadangan itu pada asasnya akan mempercepatkan rancangan yang sudah ada dalam perjanjian gabungan yang dicapai untuk mengharamkan unit pemanas baharu yang tidak menghasilkan 65 % tenaga daripada sumber boleh diperbaharui mulai 2025.

Garis masa baharu itu akan memberi impak negatif terhadap ekonomi dan sosial, kata ketua FDP dan Menteri Kewangan Christian Lindner.


(FOTO HIASAN)


"Pelan itu mesti kembali ke rancangan asal dan disemak secara teliti,” kata Lindner.

Pergerakan daripada bahan api fosil kepada teknologi yang lebih mesra alam, seperti pam haba, akan disertakan dengan pakej sokongan kewangan bernilai berbilion euro, kata Habeck.

Masih terdapat beberapa isu yang perlu dijelaskan sebelum draf akhir dikemukakan, kata Habeck. Ini termasuk sama ada industri akan dapat memenuhi permintaan yang meningkat untuk pam haba, satu cabaran yang Habeck akui boleh dicapai.-AFP

Media Baharu