NEW DELHI, 20 Oktober- Ibu kota India, New Delhi diselubungi jerebu tebal dan toksik pada Isnin susulan peningkatan mendadak tahap pencemaran udara yang mencecah lebih 16 kali ganda had harian maksimum yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kawasan metropolitan New Delhi dihuni lebih 30 juta penduduk secara konsisten disenaraikan antara bandar paling tercemar di dunia.
Peningkatan pencemaran turut dipacu dengan pesta bunga api sempena sambutan perayaan Deepavali pada Ahad malam.
Mahkamah Agung India sebelum ini melonggarkan larangan bunga api dengan membenarkan penggunaan “bunga api hijau” yang dikatakan lebih mesra alam, namun larangan tersebut sering diabaikan.
Menurut data IQAir, tahap PM2.5, zarah halus berbahaya yang boleh memasuki aliran darah, mencecah 248 mikrogram per meter padu di beberapa kawasan bandar itu.
Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara Kerajaan India menjangka tahap pencemaran akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Antara langkah yang diumumkan termasuk memastikan bekalan elektrik tidak terganggu bagi mengurangkan penggunaan penjana diesel.
Kerajaan juga merancang melakukan pembenihan awan menggunakan pesawat buat kali pertama bulan ini bagi mencetuskan hujan untuk membersihkan udara.
Laporan The Lancet Planetary Health tahun lalu menganggarkan 3.8 juta kematian di India antara 2009 hingga 2019 berpunca daripada pencemaran udara.
UNICEF turut memberi amaran bahawa udara tercemar meningkatkan risiko jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak. -AFP