fb fb fb fb fb

Jambatan baharu dibina untuk mempercepatkan kerja menyelamat

Anggota tentera dan sukarelawan membina semula jambatan selepas tanah runtuh melanda Chooralmala/ REUTERS

CHOORALMALA, 2 Ogos- Usaha mencari mangsa yang terselamat dan mayat selepas tanah runtuh yang dahsyat di Kerala akan dipercepatkan pada Jumaat, selepas tentera membina jambatan untuk membantu pengangkutan peralatan berat ke kawasan terjejas.

Hujan lebat di pantai selatan Kerala, menyebabkan tanah runtuh di bukit-bukit daerah Wayanad pada awal Selasa. Ia mengakibatkan lumpur, air dan batu-batu menuruni bukit dan menimbus penduduk di kawasan sekitar. Kejadian itu berlaku ketika ramai penduduk sedang tidur.

Namun usaha menyelamat terbantut pada mulanya selepas kawasan paling teruk terjejas itu terputus hubungan dari bandar Chooralmala kerana jambatan utama dihanyutkan.

Kenderaan berat mula menggunakan jambatan kira-kira 190 kaki itu (58 meter) yang dibina oleh jurutera tentera.

Sementara itu dron teknologi penderiaan bumi digunakan untuk mencari mayat yang tertimbus dalam lumpur, kata tentera dalam satu kenyataan.

Pasukan penyelamat telah mengerahkan pasukan tambahan, termasuk pakar renang, untuk memberi tumpuan di tebing dan sungai Chaliyar.

Menurut pihak berkuasa, harapan untuk mencari mangsa yang terselamat ketika ini adalah tipis, namun usaha mencari akan diteruskan.

Bencana itu merupakan yang terburuk di Kerala sejak banjir maut pada 2018 dan menurut pegawai ia telah menyebabkan kematian 189 penduduk dengan 206 lagi masih hilang.

Stesen televisyen tempatan, TV Asianet melaporkan, seramai 292 penduduk terbunuh dalam banjir itu.

Menurut pakar kawasan itu menerima hujan lebat dalam tempoh dua minggu lalu yang menyebabkan tanah mempunyai serapan air lebih tinggi ditambah dengan hujan lebat sangat lebat pada Isnin. Berikutan itu, ia telah menyebabkan tanah runtuh.

Sepanjang dua hari lalu pihak berkuasa menyelamatkan hampir 1,600 penduduk dari perkampungan lereng bukit, ladang teh dan buah pelaga. Kejadian berkenaan turut merosakkan hampir 350 bangunan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI