GAZA, 26 Disember- Lima anggota saluran televisyen Palestin, Al-Quds Today terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas kenderaan mereka di kem Nuseirat, di sini, semalam.
Kenyataan saluran tersebut mengesahkan peluru berpandu Israel mengenai trak penyiaran mereka yang diparkir di kawasan tersebut mengakibatkan kematian lima kakitangan dikenali sebagai Faisal Abu Al-Qumsan, Ayman Al-Jadi, Ibrahim Al-Sheikh Khalil, Fadi Hassouna dan Mohammed Al-Lada'a.
"Mereka telah dibunuh ketika menjalankan tugas kewartawanan dan kemanusiaan mereka. Kami berikrar untuk meneruskan mesej media kami yang menentang kezaliman," menurut kenyataan.
Saksi yang berada di lokasi kejadian berkata peluru berpandu Israel mengenai kenderaan penyiaran yang diparkir di luar Hospital Al-Awda menyebabkan kebakaran dan membunuh mereka yang berada di dalamnya.
Kesatuan Wartawan Palestin mengesahkan bahawa lebih 190 wartawan telah terkorban manakala sekurang-kurangnya 400 orang lagi cedera sejak perang Gaza bermula pada 7 Oktober 2023.
Sementara itu, kempen ketenteraan Israel di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 45,361 orang dengan majoritinya adalah orang awam, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza. -AFP