fb fb fb fb fb

Israel semakin menggila, ratusan penduduk Beirut tinggalkan kediaman

Foto REUTERS

BEIRUT, 21 Oktober-Ratusan penduduk Beirut melarikan diri dari rumah mereka pada lewat Ahad, selepas serangan memuncak di ibu kota Lubnan berkenaan ketika Israel memperhebatkan serangan di lokasi-lokasi yang dikaitkan dengan operasi kewangan kumpulan Hezbollah di Lubnan.

Tentera Israel telah memberi amaran kepada penduduk supaya segera meninggalkan kawasan-kawasan tersebut.

Tiada maklumat tentang punca letupan tersebut atau jumlah korban yang terlibat. Penduduk yang ketakutan memenuhi jalan raya, menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa bahagian Beirut ketika mereka cuba mencari perlindungan di kawasan yang dianggap lebih selamat.

Jurucakap tentera Israel sebelum ini memuat naik kenyataan di media sosial X bahawa mereka "akan mula menyerang infrastruktur yang dimiliki oleh Persatuan Al-Qard Al-Hassan Hizbullah.

Al-Qard Al-Hassan, yang dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai institusi kewangan Hizbullah, mempunyai lebih daripada 30 cawangan di seluruh Lubnan, termasuk 15 cawangan di kawasan padat penduduk di pusat Beirut dan sekitarnya.

Setakat ini, tiada kenyataan daripada Hizbullah atau kerajaan Lubnan. Apabila ditanya sama ada cawangan-cawangan itu boleh dianggap sebagai sasaran ketenteraan, seorang pegawai perisikan Israel berkata: Matlamat serangan tersebut adalah untuk menyekat keupayaan ekonomi Hizbullah, daripada membina semula dan memperkukuhkan kekuatan mereka.

Pertempuran rentas sempadan antara Israel dan Hezbollah meletus setahun yang lalu apabila kumpulan itu mula melancarkan roket bagi menyokong kumpulan Palestin, Hamas, di Gaza.

Pada awal bulan Oktober, Israel melancarkan serangan darat ke Lubnan untuk menstabilkan kawasan sempadan bagi melindungi rakyatnya yang telah melarikan diri daripada serangan roket di utara Israel.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD