fb fb fb fb fb

Lula batal lawatan ke Persidangan BRICS, susulan pendarahan otak

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva/Foto REUTERS

BRASILIA, 21 Oktober-Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, pada Ahad telah membatalkan lawatannya ke Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS atas nasihat perubatan untuk mengelakkan penerbangan jarak jauh buat sementara waktu.

Keputusan ini dibuat selepas beliau mengalami kecederaan di kepala yang menyebabkan pendarahan di otaknya.

Pejabat Presiden dalan satu kenyataan memaklumkan bahawa Lula, 78 tahun, akan menyertai mesyuarat BRICS melalui sidang video. Pada awalnya, beliau dijadualkan berlepas pada pada petang Ahad.

Doktor peribadi Lula, Dr. Roberto Kalil, dalam temu bual bersama saluran GloboNews, menjelaskan bahawa beliau terjatuh menyebabkan bahagian belakang kepalanya,cedera dan memerlukan pembedahan otak kecil di kawasan temporal-frontal.

"Sebarang pendarahan otak, secara teori, boleh menjadi lebih serius dalam beberapa hari akan datang, jadi pemantauan rapi adalah penting," kata Kalil.

Dr. Kalil turut berkata bahawa keadaan kesihatan Lula adalah baik dan beliau masih boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Menurut laporan perubatan yang dikeluarkan pada Ahad oleh Hospital Sirio Libanes di Brasilia, Lula mengalami luka di bahagian "oksipital" di belakang kepalanya pada Sabtu. Laporan itu turut menyatakan bahawa beliau dinasihatkan untuk mengelakkan perjalanan udara jarak jauh tetapi masih mampu menjalankan tugas-tugas biasa.

Kerajaan Brazil menerusi platform media sosial X memaklumkan bahawa Menteri Luar Negeri, Mauro Vieira, telah dilantik untuk mengetuai delegasi Brazil ke Sidang Kemuncak BRICS, dengan berlepas dijadualkan pada lewat Ahad.

Forum diplomatik BRICS yang diasaskan 15 tahun lalu oleh pasaran-pasaran sedang membangun seperti Brazil, Rusia, India, dan China kini telah berkembang dengan penyertaan negara lain termasuk Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran, dan Emiriah Arab Bersatu.

Gleisi Hoffmann, ahli Kongres yang juga Presiden Parti Pekerja Lula, menyatakan di media sosial bahawa beliau telah bercakap dengan presiden dan mengesahkan bahawa Lula dalam keadaan baik, hanya mengelak perjalanan jauh buat masa ini.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD