GAZA, 10 November- Tentera rejim zionis Israel dilapor mula menyasarkan Hospital Kanak-Kanak Al Nasr di sini dengan pengeboman artileri, lapor wartawan Agensi Berita Palestin (WAFA).
Memetik laporan WAFA, artileri zionis menyasarkan hospital itu dengan beberapa peluru menyebabkan kerosakan teruk pada kemudahannya, petang semalam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan tersebut.
Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan sebanyak 18 daripada 35 hospital di seluruh wilayah itu terpaksa menghentikan operasi, manakala 71 peratus kemudahan penjagaan utama ditutup kerana kekurangan bahan api dan pengeboman Israel.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa doktor masih dipaksa melakukan pembedahan tanpa bius kepada mangsa cedera dan wanita yang bersalin secara caesarean.