BAITULMAQDIS, 26 Oktober- Tentera Israel melancarkan serangan yang menyasarkan beberapa lokasi strategik dan tentera Iran, awal pagi tadi.
Tentera Israel menerusi kenyataan berkata tindakan itu sebagai tindak balas serangan terhadapnya oleh kumpulan yang disokong Tehran di Lubnan termasuk serangan dari Iran.
Kesemua keupayaan pertahanan telah digerakkan sepenuhnya bagi berdepan sebarang tindakan balas Iran.
Israel telah berikrar untuk bertindak balas, susulan serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober.
Sejak serangan paling dahsyat pada 7 Oktober tahun lalu, Israel telah memerangi Hamas yang disokong Iran di Gaza.
Tentera Zionis telah meluaskan skop operasinya ke Lubnan dan berikrar untuk mengawal sempadan utaranya, selepas hampir setahun serangan rentas sempadan oleh Hizbullah yang disokong Iran.
Jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari, dalam kenyataan berasingan, menyeru orang ramai supaya berwaspada.
Sementara itu, TV Iran melaporkan letupan kuat kedengaran di sekitar ibu negara, walaupun ia tidak menyatakan punca letupan itu.
"Beberapa minit lalu, bunyi letupan kuat kedengaran dari sekitar Tehran, punca bunyi ini masih belum jelas," kata penyampai televisyen kerajaan.
Manakala, media Iran berkata tiada kebakaran atau letupan dilaporkan di kilang penapisan minyak utama berhampiran Tehran.-AFP