fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan dari Bukit Golan, Lubnan

Foto AFP

DAMASCUS, 26 Oktober- Agensi berita negara Syria (SANA) melaporkan Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan kedudukan tentera di Syria dari Bukit Golan dan Lubnan yang diduduki.

Memetik sumber tentera, agensi itu berkata serangan yang berlaku pada kira-kira 2.00 pagi waktu tempatan, telah menyasarkan kedudukan ketenteraan bahagian tengah dan selatan Syria.

Menurut SANA, serangan itu mendorong Syria untuk mengaktifkan pertahanan udaranya, ketika Israel mengumumkan melancarkan serangan tepat di negara jiran Iran.

Iran dan Syria adalah sekutu yang dikenali sebagai 'paksi penentangan' termasuk Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Gaza.

'Paksi penentangan' merupakan istilah yang digunakan di Asia Barat untuk merujuk tentangan terhadap penjajah Israel dan campur tangan tentera AS.

"Pertahanan kami sedang berhadapan dengan sasaran musuh di langit sekitar Damsyik," lapor agensi berita negara SANA menerusi Telegram.

SANA sebelum ini melaporkan bunyi letupan di sekitar ibu negara Syria.-AFP

ROSLINA BINTI DIN