fb fb fb fb fb

Israel arah Sepanyol hentikan perkhidmatan konsular untuk rakyat Palestin

Seorang lelaki berjalan di luar bangunan di bandar Ramallah Tebing Barat yang dihiasi dengan bendera Sepanyol, Ireland dan Norway/ AFP

BAITULMAQDIS, 27 Mei- Kementerian Luar Israel hari ini berkata ia telah memberitahu konsulat Sepanyol di Baitulmaqdis supaya berhenti menawarkan perkhidmatan konsular kepada rakyat Palestin mulai 1 Jun berikutan pengiktirafan Madrid terhadap negara Palestin.

Kementerian itu berkata bahawa konsulat Sepanyol di Baitulmaqdis "diberi kuasa untuk menyediakan perkhidmatan konsular kepada penduduk daerah konsular Baitulmaqdis sahaja, dan tidak diberi kuasa untuk menyediakan perkhidmatan atau melakukan aktiviti konsular kepada penduduk Pihak Berkuasa Palestin".

Menteri Luar, Israel Katz dalam satu kenyataan berkata arahan itu berkuat kuasa mulai 1 Jun.

"Hari ini, saya melaksanakan langkah hukuman awal terhadap konsulat Sepanyol di Baitulmaqdis berikutan pengiktirafan kerajaan Sepanyol terhadap negara Palestin.

“Kami tidak akan 'bertahan' dengan merosakkan kedaulatan dan keselamatan Israel," katanya.

Sepanyol adalah antara negara Eropah yang paling mengkritik Israel berhubung perang di Gaza.

Minggu lalu, Sepanyol, Ireland dan Norway mengumumkan keputusan mereka untuk mengiktiraf negara Palestin dan ia mendapat tentangan keras daripada Israel.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI