fb fb fb fb fb

Iran tutup 150 perniagaan langgar kod pemakaian Islam

(FOTO AFP)

TEHRAN, 17 April - Polis Iran pada Ahad memaklumkan pihak berkuasa bertindak menutup lebih 150 perniagaan dalam tempoh 24 jam kerana tidak menghormati kewajipan wanita untuk bertudung di bawah kod berpakaian Islam di negara itu.

Penutupan itu diumumkan sehari selepas pihak polis memaklumkan mereka kini sudah melaksanakan rancangan untuk menangani wanita yang melanggar undang-undang dengan menggunakan kamera pengawasan dan teknologi pengecaman muka.

Keperluan untuk wanita bertudung di khalayak ramai sudah termaktub dalam undang-undang sejurus selepas revolusi Islam pada 1979.

(FOTO AFP)

Jurucakap polis, Said Montazerolmahdi berkata polis terpaksa menutup 137 kedai dan 18 restoran serta kawasan penerimaan tetamu kerana tidak mengendahkan amaran membabitkan kod berpakaian.

Tindakan keras itu dilakukan selepas jumlah wanita yang mengingkari kod etika berpakaian meningkat selepas gerakan protes yang dicetuskan susulan kematian wanita Kurdish-Iran, Mahsa Amini, 22, yang didakwa melanggarnya.

Minggu lalu, ketua polis Ahmad-Reza Radan berkata mereka yang menanggalkan tudung akan dikenal pasti menggunakan 'peralatan pintar'.

Polis juga memberi amaran pemilik kereta akan menerima mesej sekiranya penumpang wanita melanggar kod itu dan berdepan risiko kenderaan mereka disita sekiranya melakukan kesalahan berulang.

"Sepanjang tempoh 24 jam yang lalu, terdapat ratusan kes ketidak patuhan direkodkan oleh polis dan pemilik kereta sudah dimaklumkan melalui mesej teks," kata Montazerolmahdi.

Bulan lalu, ketua badan kehakiman Gholamhossein Mohseni Ejei berkata wanita yang menanggalkan tudung akan dihukum.-AFP

Media Baharu