fb fb fb fb fb

Iran tuntut tindakan Majlis Keselamatan PBB, kecam serangan AS

Serangan Israel di Tehran/ Foto fail REUTERS

TEHRAN, 22 Jun- Iran menghantar surat ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat (AS) mengebom kemudahan nuklear Iran.

Dalam kenyataan rasmi, Iran menyifatkan serangan itu sebagai tidak sah dan berbahaya serta mendakwa ia melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

"Kami mengecam keras tindakan tidak sah dan melulu Amerika Syarikat dalam membedil kemudahan nuklear Iran. Amerika Syarikat dan rejim Zionis Israel yang mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Iran turut menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan tegas dan segera bagi memastikan keadilan ditegakkan serta mengelakkan konflik daripada terus merebak.

Berhubung dengan surat-surat sebelum ini bertarikh 13, 16, 18, 19, dan 20 Jun, susulan kekerasan secara haram Amerika Syarikat ke atas kedaulatan dan keutuhan wilayah Iran.

"Pada awal pagi 21 Jun (waktu tempatan), Amerika Syarikat, bertindak secara berkoordinasi penuh dengan rejim Israel melancarkan serangan udara secara sengaja, terancang dan tanpa provokasi ke atas tiga tapak dan fasiliti nuklear Iran bawah pengawasan: Fordow, Natanz, dan Esfahan.

"Presiden Amerika Syarikat secara terbuka mengakui tanggungjawab negaranya terhadap serangan kejam ini serta penggunaan kekerasan secara haram terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Iran melalui hantaran Truth Social dan seterusnya dalam satu sidang media di White House," menurut kenyataan itu.

Iran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan agresif yang tidak diprovokasi dan dirancang itu, yang berlaku selepas serangan ketenteraan berskala besar rejim Israel pada 13 Jun terhadap tapak dan fasiliti nuklear Iran.

Tindakan pencerobohan secara terang-terangan dan pelanggaran undang-undang itu dilakukan rejim Israel dan kini diteruskan pula Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat merupakan satu-satunya negara ahli yang pernah menggunakan senjata nuklear dalam peperangan yang menyebabkan kematian berjuta-juta orang awam dalam dua serangan pada Perang Dunia Kedua.

Kini, Amerika Syarikat secara terbuka menyasarkan kemudahan nuklear Iran yang berada bawah pemantauan berterusan dan verifikasi penuh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Tindakan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Iran merupakan pelanggaran nyata dan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

Serangan bersenjata Amerika Syarikat ke atas tapak dan fasiliti Iran juga melanggar Statut IAEA, Resolusi-resolusi Persidangan Agung IAEA, Resolusi Majlis Keselamatan 487 (1981) dan 2231 (2015), serta Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).

"Iran dengan segera memohon agar Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar tanpa sebarang kelewatan untuk menangani tindakan agresif dan tidak sah.

"Serta mengambil semua langkah yang perlu bawah tanggungjawab yang termaktub dalam Piagam PBB agar pihak yang melakukan jenayah kejam ini dipertanggungjawabkan sepenuhnya dan tidak terlepas daripada hukuman," menurut kenyataan itu.- REUTERS 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI