TEHRAN, 17 Januari- Pengawal Revolusi Iran mendakwa pihaknya berjaya menyerang dan memusnahkan ibu pejabat pengintip Israel, Mossad di wilayah separa autonomi Iraq, Kurdistan.
Media kerajaan Iran mengesahkannya menerusi laporan pada lewat Isnin lalu.
"Ibu pejabat pengintip Mossad yang utama di wilayah Kurdistan, Iraq telah dimusnahkan dengan peluru berpandu balistik.
"(Ia) sebagai tindak balas kepada kekejaman zionis baru-baru ini yang membunuh komander kami dan Paksi Penentangan," menurut Pengawal Revolusi Iran dalam kenyataan.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat sejak perang antara Israel dan pejuang Hamas yang disokong Iran tercetus di Gaza pada 7 Oktober lalu.
Konflik semakin merebak hingga melibatkan kumpulan bersekutu dengan Iran yang beroperasi di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman. -Reuters