fb fb fb fb fb

17 cedera, serangan peluru berpandu Rusia di kawasan perumahan di Kharkiv

Kerosakan yang berlaku selepas serangan peluru berpandu Rusia di Kharkiv/REUTERS

KHARKIV, 17 Januari- Dua peluru berpandu Rusia mengenai kawasan perumahan di tengah Kharkiv, bandar kedua Ukraine, mengakibatkan 17 orang cedera, dua daripadanya parah ,kata pegawai tempatan.

Pasukan penyelamat ke lokasi kejadian bagi menyaring timbunan runtuhan untuk menentukan jika ada yang lain tercedera.

Datuk Bandar berkata berlaku dua "letupan kuat" dan sekurang-kurangnya 10 kediaman telah rosak teruk.

Ketua Polis Wilayah, Volodymyr Tymoshko memberitahu penyiar awam Suspilne bahawa satu peluru berpandu terarah ke jalan raya manakala satu lagi di bangunan pangsapuri tiga tingkat.

Kebakaran berlaku di sebuah hospital dua tingkat bertentangan dengan bangunan itu, tetapi berjaya dipadamkan.

Suspilne menyiarkan gambar dalam talian yang menunjukkan pasukan penyelamat meneliti timbunan bahan binaan yang hancur.

Gabenor Wilayah Kharkiv, Oleh Synehubov, menulis di Telegram, berkata 17 orang telah cedera. Dua belas berada di hospital, termasuk dua wanita yang cedera parah.

Datuk Bandar Kharkiv, Ihor Terekhov, juga menulis di Telegram, berkata peluru berpandu itu menyerang "tepat di mana tiada infrastruktur ketenteraan dan tepat di tempat yang sebenarnya terdapat kediaman."

“Sekurang-kurangnya 10 bangunan rosak. Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi dan mendapati banyak runtuhan.”

Kharkiv, di timur laut Ukraine, telah menjadi sasaran serangan yang kerap, tetapi dalam ruang konflik hampir dua tahun, bandar itu tidak jatuh ke tangan Rusia.

Minggu lalu, 11 cedera akibat serangan peluru berpandu Rusia di sebuah hotel di bandar itu -REUTERS.

ZEHRA BINTI ZAMBRI