SYDNEY, 14 Disember- Polis Australia mengesahkan dua individu ditahan susulan laporan tembakan dan kecederaan yang berlaku di Pantai Bondi, Sydney, pada Ahad.
Polis New South Wales (NSW) memaklumkan operasi keselamatan masih berjalan dan orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan berkenaan.
“Operasi polis masih diteruskan dan kami terus menggesa orang ramai untuk mengelakkan kawasan tersebut,” menurut kenyataan polis NSW menerusi hantaran di platform X.
Rangkaian televisyen ABC menyiarkan rakaman yang menunjukkan objek dipercayai senjata api di atas tanah, selain anggota polis dilihat memberikan bantuan kepada beberapa individu di lokasi kejadian.
Sementara itu, video yang tular di media sosial X menunjukkan orang ramai bertempiaran lari di Pantai Bondi ketika beberapa das tembakan dan bunyi siren polis kedengaran.
Bagaimanapun, Reuters memaklumkan pihaknya belum dapat mengesahkan kesahihan rakaman tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata pihak kerajaan menyedari situasi keselamatan aktif yang sedang berlaku di Bondi.
“Kami menggesa orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu supaya mematuhi arahan dan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Polis NSW,” katanya. -REUTERS