fb fb fb fb fb

Industri penerbangan jangka rekod 5.2 bilion penumpang pada 2026 – IATA

Foto BERNAMA

GENEVA, 9 Disember – Industri penerbangan antarabangsa dijangka mencapai jumlah penumpang tertinggi dalam sejarah, iaitu 5.2 bilion orang pada tahun 2026 meskipun berdepan cabaran global.

Demikian menurut kenyataan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada Selasa.

IATA turut menjangkakan keuntungan syarikat penerbangan pada 2025 akan lebih tinggi berbanding jangkaan sebelumnya, dengan unjuran pulangan pada 2026 di paras hampir sama.

Persatuan itu, yang mewakili sekitar 360 syarikat penerbangan atau 80 peratus trafik udara global, menjelaskan keuntungan 2025 dijangka mencecah AS$39.5 bilion, meningkat daripada ramalan AS$36 bilion ketika mesyuarat agung tahunannya pada Jun.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh, berkata unjuran lebih baik itu disumbangkan oleh prestasi positif sektor kargo udara, walaupun berdepan ketegangan perdagangan yang tercetus akibat tindakan Amerika Syarikat.

Bagi tahun 2026, keuntungan dijangka meningkat kepada AS$41 bilion, namun kekangan bekalan pesawat dijangka terus menjejaskan prestasi keseluruhan industri.

Tahun ini, jumlah penumpang dijangka mencecah 4.98 bilion, hampir menyamai paras lima bilion dan meningkat daripada rekod terdahulu pada 2024, iaitu 4.77 bilion.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP