fb fb fb fb fb

Indonesia kurangkan pengeluaran arang batu ekoran peningkatan pencemaran

(FOTO CNN INDONESIA)

JAKARTA, 6 September - Indonesia mengurangkan hampir separuh pengeluaran di loji jana kuasa arang batu utama berhampiran ibu negara selepas bandar raya itu berdepan peningkatan pencemaran berskala besar dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kata pengendalinya kepada AFP.

Pengurangan itu dilakukan seminggu sebelum Indonesia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dengan pegawai tinggi dari Amerika Syarikat, Jepun, China dan Korea Selatan hadir pada persidangan itu dalam usaha menangani beberapa isu serantau.

Ibu kota besar yang menempatkan kira-kira 30 juta penduduk itu mendahului kedudukan pencemaran global untuk tempoh beberapa kali bulan lalu, menurut pemantau kualiti udara, IQAir yang berpangkalan di Switzerland, ketika krisis asap toksik yang memudaratkan membayangi mesyuarat itu.

(Indonesia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung 5 hingga
7 September / FOTO AFP)

"Sejak 29 Ogos, Perusahaan Listrik Negara (PLN) telah menurunkan pengeluaran loji jana kuasa arang batu Suralaya sebanyak 1,600 megawatt untuk menyumbang dalam meningkatkan kualiti udara Jakarta," kata pengurus besar pengendali loji itu, Irwan Edi Syahputra Lubis.

Beliau berkata, loji yang terletak di hujung barat Pulau Jawa yang dihuni paling ramai penduduk di Indonesia, sekitar 100 kilometer dari pusat bandar, Jakarta itu kini akan beroperasi untuk menjana 1,800 megawatt.

Pegawai itu bagaimanapun tidak memberi perincian berapa lama pemotongan kuasa akan dilakukan atau langkah tersebut akan berterusan.

Sebaliknya, firma itu memaklumkan akan mengikut arahan daripada kerajaan Indonesia.

Indonesia sebelum ini berikrar untuk menghentikan pembinaan loji jana kuasa arang batu baharu mulai 2023 dan menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

Walaupun mendapat bantahan daripada aktivis alam sekitar, loji arang batu Suralaya di pulau Jawa masih diperluaskan untuk menempatkan 10 unit di dalam kompleks loji itu.

Memandangkan kritikan orang ramai semakin meningkat mengenai kualiti udara yang semakin teruk, Indonesia telah mengambil tindakan dengan menggantung 11 firma perindustrian kerana gagal memenuhi piawaian operasi dan mengarahkan separuh penjawat awamnya bekerja dari rumah.-AFP

Media Baharu