NEW DELHI, 26 November – Pasukan Pengawal Pantai India berjaya merampas 5.5 tan metamphetamine dalam sebuah operasi besar-besaran di Laut Andaman.
Dadah tersebut ditemui dalam operasi Pengawal Pantai India, menjadikannya rampasan dadah terbesar dalam sejarah mereka.
Bot nelayan kecil yang membawa enam warga Myanmar itu dikesan melalui rondaan udara sebelum ditahan pada awal pagi Ahad selepas memasuki perairan India.
Pihak berkuasa menganggarkan bahawa dadah tersebut mampu mencecah nilai jutaan dolar jika berjaya dipasarkan di pasaran gelap.
Bot dan kru kini ditahan untuk siasatan lanjut di pangkalan tentera laut India.
Myanmar, yang terus bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, kini menjadi salah satu pusat utama pengeluaran dadah sintetik.
Kebanyakan operasi pengeluaran haram dijalankan di kawasan terpencil seperti hutan dan pergunungan yang sukar diakses, terutamanya di Negeri Shan, yang dikuasai oleh kumpulan bersenjata.
Sindiket kini beralih ke laluan laut bagi mengelak kawalan ketat di sempadan darat.
Tahun lalu, PBB melaporkan 190 tan metamphetamine dirampas di Asia Timur dan Asia Tenggara. - AFP