ISLAMABAD, 26 November – Pasukan keselamatan Pakistan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi meleraikan ribuan penyokong Imran Khan yang menuntut pembebasan bekas Perdana Menteri itu dalam rusuhan di Hasan Abdal, 40 km dari Islamabad.
Protes berlaku selepas pengharaman perhimpunan awam diumumkan.
Susulan itu, penyokong Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) melanggar sekatan jalan dan mengadakan demonstrasi besar-besaran, menyebabkan pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan mereka.
Kerajaan melaporkan seorang anggota polis terbunuh dan sembilan cedera parah dalam pertempuran dua hari tersebut.
Imran Khan, dipenjara sejak Ogos 2023 atas pelbagai tuduhan termasuk menghasut rusuhan, menjadi tumpuan utama protes tersebut.
PTI turut mendakwa pilihan raya Februari lalu dicemari manipulasi, selain membantah pindaan perlembagaan yang memberi kerajaan kuasa lebih besar ke atas mahkamah.
Sekolah dan universiti di Islamabad ditutup, internet mudah alih disekat, dan 20,000 anggota keselamatan dikerahkan bagi mengawal situasi yang sedang bergolak di negara itu. - AFP