THE HAGUE, Belanda, 21 November- Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant serta Ketua Ketenteraan Hamas, Mohammed Deif.
Menurut kenyataan ICC, Netanyahu dan Gallant didakwa atas jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan antara 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.
"Waran tangkap ini sebelumnya dikelaskan sebagai 'rahsia' untuk melindungi saksi serta memastikan kelancaran siasatan. Namun, maklumat ini kini didedahkan kerana tindakan serupa seperti yang disebut dalam waran dipercayai masih berterusan.
"Selain itu, mahkamah menganggap pendedahan ini penting untuk kepentingan mangsa dan keluarga mereka," menurut kenyataan.
Ketua Pendakwa ICC, Karim Khan pada Mei lalu memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Netanyahu telah memecat Gallant daripada jawatan Menteri Pertahanan pada 5 November.
Khan turut meminta waran tangkap terhadap pemimpin kanan Hamas termasuk Mohammed Deif atas dakwaan jenayah yang sama.
Permohonan terhadap Ismail Haniyeh bagaimanapun dibatalkan pada 2 Ogos berikutan kematiannya di Tehran pada 31 Julai. Israel juga mendakwa Deif terbunuh dalam serangan pada 13 Julai di selatan Gaza, tetapi Hamas menafikan laporan tersebut. -AFP