fb fb fb fb fb

Hina mahkamah, aktivis anti-Islam British dipenjara 18 bulan

Aktivis anti-Islam British, Stephen Yaxley-Lennon / FOTO REUTERS

LONDON, 29 Oktober- Aktivis anti-Islam British, Stephen Yaxley-Lennon, yang dikenali sebagai Tommy Robinson, telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan pada Isnin selepas mengaku menghina mahkamah dengan melanggar perintah injunksi yang dikenakan ke atasnya.

Yaxley-Lennon disaman fitnah oleh pelarian Syria, Jamal Hijazi, di Mahkamah Tinggi London dan pada tahun 2021 diarahkan membayar £100,000 (AS$129,885) sebagai ganti rugi.

Injunksi juga dikenakan ke atasnya untuk menghalang beliau daripada mengulangi fitnah tersebut, yang mana Yaxley-Lennon mengaku melanggarnya berulang kali dari Februari 2023 hingga Julai tahun ini.

Ketika menjatuhkan hukuman di Mahkamah Woolwich Crown London, Hakim Jeremy Johnson menyatakan, "Pelanggaran ini bukan secara tidak sengaja atau kecuaian, tetapi merupakan pelanggaran yang dirancang dan disengajakan dengan jelas terhadap perintah mahkamah."

Tindakan undang-undang terhadap Yaxley-Lennon diambil oleh Peguam Negara Britain atas kenyataannya dalam temu bual dalam talian dan dokumentari bertajuk 'Silenced', yang telah ditonton jutaan kali dan dipertontonkan di Trafalgar Square pada Julai.

Peguam Peguam Negara, Aidan Eardley, mengatakan bahawa Yaxley-Lennon telah didapati menghina mahkamah sebanyak tiga kali secara berasingan dan pernah dipenjarakan pada 2019 atas kesalahan yang sama.

Hakim menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara kepada Yaxley-Lennon, tolak tiga hari yang telah dijalani dalam tahanan sejak penangkapannya pada Jumaat.

Dalam pernyataan mahkamah, hakim menyebut bahawa hukuman tersebut boleh dikurangkan empat bulan sekiranya Yaxley-Lennon cuba "membebaskan dirinya" daripada penghinaan mahkamah, termasuk memadam salinan dokumentari 'Silenced'. Sewaktu hakim memberi kenyataan berkenaan, Yaxley-Lennon dilihat mengungkapkan "tidak" ke arah galeri awam.

Hakim turut menegaskan bahawa semua tindakan tertuduh setakat ini menunjukkan bahawa dia menganggap dirinya kebal dan lebih berkuasa daripada undang-undang.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE