ANKARA, 22, Disember- Empat orang maut apabila sebuah helikopter yang dinaiki mereka terhempas ke sebuah hospital di barat daya Turkiye pada Ahad, kata gabenor wilayah.
"Helikopter itu jatuh ke tanah selepas melanggar tingkat empat hospital," kata Gabenor Mugla, Idris Akbiyik sambil menambah bahawa dua juruterbang, seorang doktor dan seorang krew helikopter terkorban.
"Kabus sangat tebal ketika kejadian," kata Akbiyik yang turut memberitahu bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian itu.
Helikopter itu berlepas dari bumbung hospital di bandar Mugla dalam perjalanan menuju ke bandar Antalya seperti rakaman yang disiarkan oleh saluran televisyen NTV.
Ia dilihat melayang dalam kabus selama beberapa minit sebelum terhempas ke sebuah padang kosong bersebelahan hospital yang dilanggar, lapor media Turkiye.
Kejadian tersebut berlaku kurang dua minggu selepas enam tentera terkorban apabila dua helikopter bertembung semasa latihan tentera di wilayah Isparta, barat daya negara itu.
Punca perlanggaran masih belum diumumkan oleh kementerian pertahanan. -AFP