MOGADISHU, 2 Julai - Sebuah helikopter milik misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia dilaporkan terhempas di Lapangan Terbang Aden Adde, Mogadishu semalam, sebelum terbakar.
Menurut agensi berita kerajaan Somalia, Sonna, kejadian berlaku ketika helikopter yang dikendalikan Misi Sokongan dan Penstabilan Kesatuan Afrika di Somalia (AUSSOM) sedang mendarat. Helikopter tersebut membawa lapan anggota ketika insiden berlaku.
Sonna memaklumkan kebakaran yang tercetus susulan nahas berkenaan berjaya dikawal oleh pihak keselamatan lapangan terbang.
Setakat ini, status mangsa masih belum dapat disahkan. Usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada jurucakap AUSSOM berhubung kejadian masih belum berhasil.
Seorang pekerja lapangan terbang, Farah Abdulle, memaklumkan bahawa, dia terdengar bunyi letupan dan melihat asap tebal bersama api menyelubungi helikopter berkenaan.
AUSSOM kini menempatkan lebih 11,000 anggota di Somalia bagi membantu angkatan tentera negara itu memerangi kumpulan Al-Shabaab yang bersekutu dengan Al-Qaeda.
Kumpulan tersebut dilaporkan aktif selama hampir dua dekad dalam usaha menggulingkan kerajaan Somalia. - REUTERS