fb fb fb fb fb

Hasut wanita buka tudung di Iran akan diheret ke mahkamah

TEHRAN, 16 April - Iran menegaskan sesiapa yang menggalakkan wanita menanggalkan hijab mereka akan didakwa di mahkamah jenayah, menurut timbalan Peguam Negara Iran Ali Jamadi pada Sabtu.

Tambahnya menambah bahawa pesalah tidak akan mempunyai hak untuk membuat rayuan jika didapati bersalah.

Kenyataannya itu dibuat di tengah-tengah meningkatnya jumlah wanita yang melanggar kod pakaian yang diwajibkan Iran.

Semakin ramai wanita menentang pihak berkuasa dengan tidak memakai hijab semasa berada di pusat beli-belah, kedai dan kawasan-kawasan awam lain.

Dalam usaha menguatkuasakan sekatan dengan lebih ketat, polis Iran telah memasang lebih banyak kamera di tempat awam.

Ia untuk mengenal pasti dan menghukum wanita yang tidak bertudung.

“Jenayah menggalakan golongan wanita untuk membuka tudung akan dihadapkan ke mahkamah dan keputusan hukuman adalah muktamad serta tidak boleh dirayu," menurut kenyataan rasmi itu.

“Hukuman bagi mempromosikan jenayah itu dan menggalakkan orang lain menanggalkan tudung adalah jauh lebih berat daripada jenayah menanggalkan tudung itu sendiri, kerana ia adalah antara contoh yang jelas seperti menggalakkan rasuah,” tambahnya.

Dalam pada itu, pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan undang-undang hijab yang ketat di Iran, sebagai penganiayaan berasaskan jantina.

Semakin ramai wanita Iran telah menanggalkan tudung mereka sejak kematian seorang wanita Kurdish berusia 22 tahun dalam tahanan pada September lalu. Mahsa Amini ditahan kerana didakwa melanggar etika berpakaian negara untuk wanita. - REUTERS


(Keratan akhbar kematian seorang wanita Kurdish berusia 22 tahun dalam tahanan pada September 2022/FOTO REUTERS)

Media Baharu