fb fb fb fb fb

Harga permit daki Everest naik, demi keselamatan dan kebersihan

Foto AFP

KATHMANDU, 4 Februari- Nepal telah menaikkan kos permit mendaki Gunung Everest sebanyak satu pertiga bagi menangani pencemaran serta meningkatkan keselamatan di gunung tertinggi dunia itu.

Pengarah Jabatan Pelancongan, Narayan Prasad Regmi pada Selasa berkata bayaran permit bagi musim pendakian utama pada musim bunga dinaikkan daripada $11,000 kepada $15,000.

"Harga ini tidak berubah selama sedekad dan sudah tiba masanya untuk dikemas kini. Kos pendakian pada musim lain seperti musim sejuk atau musim hujan, juga meningkat dengan kadar yang sama.

Sebagai contoh, yuran bagi musim luruh dinaikkan daripada $5,500 kepada $7,500," katanya kepada AFP.

Nepal menempatkan lapan daripada 14 puncak tertinggi dunia melebihi 8,000 meter dan menarik ribuan pendaki setiap tahun.

Pendaki asing biasanya membelanjakan puluhan ribu dolar dalam usaha menawan Everest, dengan lebih 400 permit dikeluarkan tahun lalu, menyumbang sekitar $4 juta kepada kerajaan Nepal.

Dana tersebut digunakan untuk membersihkan sampah yang ditinggalkan pendaki serta operasi mencari dan menyelamat.

Namun, syarikat ekspedisi mendaki bimbang akan pengumuman kenaikan harga itu, mendorong pendaki beralih ke laluan alternatif di Tibet, China, yang menawarkan kemudahan lebih baik.

"Sesetengah pendaki mungkin memilih untuk mendaki melalui Tibet. Kerajaan hanya menaikkan yuran tetapi tidak banyak usaha dilakukan untuk memperbaiki keadaan," kata Mingma G Sherpa, pengurus syarikat pendakian Imagine Nepal.

Nepal sebelum ini dikritik kerana membenarkan terlalu ramai pendaki di Everest tanpa langkah berkesan untuk memastikan kebersihan gunung tersebut.

Tahun lalu, kerajaan Nepal mewajibkan pendaki membawa alat penjejak serta beg khas bagi mengumpulkan sisa buangan manusia mereka.

Kenaikan yuran berkenaan telah diluluskan Januari lalu, tetapi hanya diumumkan melalui dokumen rasmi kerajaan pada Isnin.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM