ST. PETERSBURG, 21 Jun – Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata bahawa ketegangan yang berlaku antara Israel dan Iran tidak menyebabkan harga minyak naik ketara buat masa ini.
Oleh itu beliau berpendapat, tiada keperluan untuk kumpulan pengeluar minyak, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan Negara Sekutu (OPEC+) bertindak melakukan campur tangan dalam pasaran.
"Kami sedar bahawa keadaan semasa di Asia Barat, yang berkaitan dengan konflik antara Iran dan Israel, berpotensi menyebabkan kenaikan harga.
Tetapi menurut pakar kami, pertambahannya tidak begitu ketara. Apa yang berlaku setakat ini, harga daripada AS$65 meningkat sebanyak AS$10 dan dilihat stabil pada tahap ini," katanya dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Saint Petersburg (SPIEF).
Harga minyak mentah global, termasuk Brent, sedikit meningkat selepas perang udara antara Israel dan Iran berlanjutan selama seminggu, malah ketidaktentuan mengenai penglibatan Amerika Syarikat turut menambah tekanan pasaran.
Namun, Iran, sebagai pengeluar ketiga terbesar dalam OPEC, mungkin terjejas sekiranya konflik berlanjutan mengganggu pengeluaran bekalan minyaknya, yang mampu mendorong kenaikan harga.
Putin menjelaskan bahawa OPEC+, gabungan OPEC dan negara sekutu termasuk Rusia yang mengeluarkan hampir separuh daripada bekalan minyak dunia, sedang meningkatkan pengeluaran secara beransur-ansur bagi memastikan keseimbangan pasaran dan harga yang stabil.
“Kita akan lihat perkembangan semasa situasi. Setakat ini, tiada tindak balas segera diperlukan,” tambah beliau. - REUTERS