SEOUL, 3 April- Bakal Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol mencalonkan bekas Perdana Menteri Han Duck Soo sebagai perdana menteri pertama untuk kerajaan yang akan diterajuinya.
Han, calon pertama yang disenaraikan ke dalam barisan Kabinetnya yang akan diumumkan pada 10 Mei, lapor Yonhap.
"Saya percaya Han Duck Soo merupakan individu yang sesuai untuk mengawasi dan menyelaraskan Kabinet serta menjalankan hal ehwal negeri berdasarkan pengalaman luasnya dalam kedua-dua sektor swasta dan kerajaan," kata Yoon pada sidang media.
Beliau berkata, kerajaan baharu perlu mewujudkan asas bagi ekonomi untuk bangkit semula menghadapi persekitaran dalaman dan luaran selain bersedia menghadapi era yang menggabungkan ekonomi dengan keselamatan.
Sementara itu, Han yang turut serta dalam sidang media berkenaan berkata ia satu penghormatan buat dirinya untuk menyandang jawatan kedua penting ketika ekonomi dan geopolitik dalam keadaan goyah.
"Dari satu sudut ia satu penghormatan, tetapi saya juga merasakan ia satu tanggungjawab yang sangat berat dan besar," katanya.
(Foto fail)
Beliau menggariskan empat bidang yang akan menjadi tumpuan utamanya: dasar luar untuk kepentingan negara dan pertahanan negarai; kesihatan fiskal; mengekalkan lebihan dalam imbangan pembayaran antarabangsa; dan memastikan tahap produktiviti negara yang tinggi.
Han, 72, pernah memegang beberapa jawatan penting, termasuk menteri kewangan dan perdana menteri di bawah pentadbiran bekas Presiden Roh Moo Hyun.
Selain itu beliau juga pernah menjadi duta ke Amerika Syarikat dan memainkan peranan utama dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas.