fb fb fb fb fb

Hamas tukar tiga tebusan Israel dengan 183 tahanan Palestin

Foto Reuters

BAITULMAQDIS, 8 Februari- Kumpulan pejuang Palestin, Hamas akan menyerahkan tiga tebusan Israel pada Sabtu sebagai pertukaran dengan tahanan dan banduan Palestin.

Keputusan itu selari dengan fasa terkini perjanjian gencatan senjata, yang bertujuan menamatkan perang 15 bulan di Gaza.

Menurut pejabat media Hamas, sebagai pertukaran, Israel akan membebaskan 183 tahanan Palestin, termasuk 18 individu yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, 54 yang menjalani hukuman panjang, serta 111 tahanan yang ditangkap di Gaza sepanjang perang.

Pertukaran tersebut adalah sebahagian daripada siri pertukaran yang telah menyaksikan pembebasan 13 tebusan Israel, lima pekerja Thailand yang diculik dalam serangan Hamas, serta 583 tahanan Palestin, setakat ini.

Walaupun terdapat beberapa halangan, gencatan senjata selama 42 hari yang dipersetujui dengan sokongan Amerika Syarikat dan perantara Mesir dan Qatar, masih bertahan sejak ia dikuatkuasakan hampir tiga minggu lalu.

Namun, terdapat kebimbangan bahawa perjanjian itu mungkin akan tamat sebelum semua tebusan dibebaskan.

Ini selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencadangkan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza serta pelan menyerahkan Gaza kepada Amerika Syarikat untuk dibangunkan sebagai “Riviera Timur Tengah”.

Cadangan itu ditolak oleh negara-negara Arab dan kumpulan Palestin yang menyifatkannya sebagai usaha pembersihan etnik.

Sebaliknya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyambut baik campur tangan Trump, manakala Menteri Pertahanan Israel telah mengarahkan tentera untuk merangka rancangan bagi membenarkan rakyat Palestin meninggalkan Gaza sekiranya mereka mahu.

Rundingan fasa kedua telah dimulakan minggu ini bagi membincangkan pembebasan baki tebusan serta persetujuan untuk pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, sebagai persediaan ke arah menamatkan perang secara menyeluruh.

Serangan Israel telah meragut lebih 47,000 nyawa rakyat Palestin, setakat ini, selain memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza.-REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM