HOUSTON, 27 Ogos - Hakim Texas pada Isnin telah memerintahkan penggantungan sementara terhadap dasar yang akan mempercepat proses mendapatkan status sah bagi pasangan warganegara Amerika Syarikat (AS), satu tamparan kepada salah satu reformasi imigresen terbesar Presiden Joe Biden.
Hakim, J. Campbell Barker mengeluarkan perintah penangguhan pentadbiran selama 14 hari selepas 16 peguam negara dari negeri-negeri di AS memfailkan kes mencabar dasar pentadbiran Biden tersebut.
Dasar baharu yang diumumkan oleh Biden pada bulan Jun bertujuan mempermudahkan laluan kepada kewarganegaraan bagi kira-kira setengah juta pendatang yang berkahwin dengan warganegara AS.
Walau bagaimanapun, 16 negeri yang membawa kes ini menyatakan dasar tersebut menelan belanja berjuta-juta dolar dalam perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang yang digunakan oleh pendatang.
Hakim Barker menyatakan bahawa tuntutan ini adalah "substansial dan memerlukan pertimbangan lebih mendalam" daripada apa yang dapat diberikan oleh mahkamah setakat ini.
Peguam Negara Texas, Ken Paxton menyatakan bahawa ini hanyalah langkah pertama dalam usaha mereka untuk mempertahankan negara dan kedaulatan undang-undang.
Pentadbiran Biden menghadapi cabaran besar dalam isu imigresen yang menjadi topik panas menjelang Pilihan Raya Presiden November ini.
Dasar baharu itu juga bertujuan menghapuskan keperluan pendatang yang layak untuk status pemastautin tetap meninggalkan negara sebagai sebahagian daripada proses permohonan.
Mereka yang diluluskan akan diberikan kebenaran kerja dan hak tinggal di Amerika Syarikat selama tiga tahun sementara mereka memohon kad hijau.
Keputusan mahkamah pada Isnin itu menggantung pemberian status "parole in place" tetapi masih membenarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menerima permohonan.
Mahkamah juga mengumumkan jadual perbicaraan yang dipercepatkan, dengan penangguhan mungkin dilanjutkan sehingga pertengahan Oktober.-AFP