fb fb fb fb fb

Gencatan senjata di Gaza, Israel lulus rundingan baharu

Penunjuk perasaan berhimpun sebagai tanda solidariti rakyat Palestin di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat/Foto AFP

GAZA, 30 Mac - Rundingan gencatan senjata di Gaza untuk pusingan baharu telah diluluskan oleh Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu.

Keputusan itu dibuat sehari selepas mahkamah tertinggi dunia mengarahkan Israel memastikan bantuan sampai kepada penduduk Palestin yang kebuluran.

Biarpun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut 'gencatan senjata segera' namun pertempuran terus berlaku di Gaza pada Jumaat.

Pada Selasa lalu, pengantara Qatar berkata bahawa rundingan antara Hamas dan Israel berkaitan gencatan senjata di Gaza serta pembebasan tebusan masih lagi diteruskan.

Menurut pejabat Netanyahu, PM Israel telah bercakap dengan ketua Mossad, David Barnea mengenai rundingan itu, tetapi enggan mengulas lanjut untuk rundingan sama ada Barnea akan pergi ke Doha atau Kaherah.

Menurut laporan Kementerian kesihatan yang dikuasai Hamas, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di rumah mereka di selatan bandar Rafah selepas dibedil Israel dalam tempoh 24 jam itu.

Terdahulu, Mahkamah tertinggi dunia (ICJ) telah memutuskan pada Januari bahawa Israel mesti memudahkan bantuan kemanusiaan segera kepada penduduk Gaza.

Sejak tercetusnya konflik perang antara Zionist Israel dan Palestin pada 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya angka korban cecah 32,623 nyawa

Memetik Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban itu termasuk sekurang-kurangnya 71 kematian dalam tempoh 24 jam lalu dan mencederakan 75,092 orang. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN