(Rumah rosak akibat gempa bumi berukuran 5.4 magnitud yang menggegarkan timur China/AFP)
PINGYUAN, 6 Ogos- Sekurang-kurangnya 23 orang cedera dan berpuluh-puluh bangunan runtuh, lapor media kerajaan, selepas gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter melanda timur China pada awal pagi Ahad.
Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berlaku pada 2.33 pagi (1833 GMT Sabtu), 26 kilometer di selatan bandar Dezhou di wilayah Shandong, pada kedalaman 10 kilometer.
Ia merupakan gempa paling kuat melanda wilayah itu dalam lebih sedekad, kata tabloid milik kerajaan Global Times.
Gegaran dirasai sejauh Beijing, Tianjin dan Shanghai, kira-kira 800 kilometer dari pusat gempa.
Video di media sosial menunjukkan lekapan lampu bergoncang, tanah bergegar dan orang ramai mengosongkan bangunan, dengan satu klip menunjukkan orang ramai berjalan melepasi batu-bata yang bertaburan di atas tanah.
"Gegaran itu sangat kuat, semasa gempa bumi, kepala saya bergoncang di atas bantal, saya fikir saya mengalami mimpi ngeri," kata seorang pengguna media sosial di platform Weibo dari wilayah Hebei yang berdekatan dengan Shandong.
Sistem PAGER USGS, yang menyediakan penilaian awal mengenai impak gempa bumi, mengeluarkan amaran merah, menganggarkan kerosakan yang besar dan kemalangan jiwa. -AFP
(Sekurang-kurangnya 23 orang cedera dan berpuluh-puluh bangunan runtuh, lapor media
kerajaan, selepas gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter melanda timur China/AFP)