fb fb fb fb fb

Gempa bumi Syria, turut dirasai di Jordan dan Lubnan

Foto REUTERS

DAMSYIK, 13 Ogos- Gempa bumi berukuran 4.8 magnitud melanda bandar Hama di barat Syria pada Isnin, turut dirasai di Jordan dan Lubnan dengan gegaran berlarutan hingga pagi Selasa.

Kementerian Kesihatan Syria berkata, kira-kira 65 individu mengalami kecederaan ringan ketika menyelamatkan diri dalam keadaan panik berikutan kejadian itu.

Di Salamiya, sebuah bandar kira-kira 30 kilometer timur bandar Hama, penduduk bergegas keluar ke jalan yang gelap kerana ketakutan, kata seorang kakitangan negeri Nasser Duyub yang tinggal di sana.

"Anak saya sedang tidur, saya tidak tahu bagaimana saya ingin menyelamatkan anaknya dan keluar dari rumah," kata Duyub kepada Reuters.

Hospital Salamiya merawat sekitar 67 pesakit berkait dengan kes kecemasan, tambah kementerian kesihatan.

Penduduk berkata mereka melihat balkoni runtuh dan ambulans merawat penduduk pengsan.

Agensi berita SANA, memetik laporan Ketua Majlis Bandar Raya Salamiya Souhad Zaidan melaporkan kerosakan kecil seperti dinding retak.

Sementara itu Pusat Penyelidikan Geosains Jerman melaporkan magnitud gempa bumi itu dengan magnitudnya sebagai 4.8 magnitud, pada kedalaman 10 kilometer.

Pusat Gempa Nasional Syria berkata, stesen pemantauan merekodkan 13 gegaran di timur bandar Hama hingga pagi Selasa.

Manakala agensi berita Jordan melaporkan gempa susulan dengan 3.9 magnitud kurang sejam selepas gempa awal.

Penduduk di seluruh Lubnan merasakan gegaran itu. Pada mulanya penduduk Lubnan dan Syria mengganggap gegaran itu adalah serangan udara oleh Israel.

Ia berikutan konflik serantau dengan perang Gaza ketika ini.

Pada Februari 2023, syria pernah mengalami gempa bumi berukuran 7.8 magnitud dan mengorbankan lebih 50,000 penduduk kebanyakannya di Turki beribu-ribu yang lain terkorban di utara Syria.

Gempa bumi itu menyebabkan kemusnahan besar di kedua-dua negara.

"Ia adalah bunyi yang sama, seolah-olah ia keluar dari bumi," kata Ummu Hamzah, seorang penduduk di Damsyik. "Saya berasa pening dan ketakutan kerana saya tahu apa yang berlaku dalam gempa sebelum ini."- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI