fb fb fb fb fb

Gempa bumi Nepal, sekurang-kurangnya 69 orang terkorban

Foto Reuters

KATHMANDU, 4 November - Sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dan berpuluh yang lain cedera di Nepal pada Jumaat apabila gempa bumi kuat melanda kawasan barat Jajarkot.

Pusat Seismologi Kebangsaan Nepal berkata gempa berukuran 6.4 magnitud itu berlaku pada pukul 11.47 malam (1802 GMT) di daerah Jajarkot di wilayah Karnali.

Jajarkot terletak kira-kira 500 km (310 batu) di sebelah barat ibu kota Kathmandu.

Pegawai tempatan berkata, sukar untuk pasukan mencari dan menyelamat sampai ke kawasan tersebut memandangkan daerah yang terlibat merupakan kawasan berbukit yang terpencil dan penempatan penduduk yang berselerak dengan populasi penduduk adalah seramai 190,000.

Seorang pegawai tempatan Jajarkot, Harish Chandra Sharma berkata sekurang-kurangnya 34 orang telah terbunuh di daerah itu manakala di daerah Rukum Barat yang berhampiran, sekurang-kurangnya 35 kematian telah dilaporkan.

“Pasukan penyelamat dan mencari perlu membersihkan jalan yang disekat oleh tanah runtuh akibat gempa bumi untuk sampai ke kawasan yang terjejas,” katanya.

Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal menerusi catatan di media sosial X melahirkan rasa dukacita di atas kehilangan nyawa dan harta benda dalam gempa bumi itu dan mengarahkan agensi keselamatan melancarkan operasi menyelamat dan bantuan segera.

Pada 2015, kira-kira 9,000 orang terkorban dalam dua gempa bumi di Nepal.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN