MANILA, 3 Ogos-Gempa bumi kuat berukuran 6.8 skala richter dilaporkan menggegarkan pantai selatan Filipina awal Sabtu kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Namun, jelas USGS,tiada sebarang amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa tersebut direkodkan pada kedalaman 17 kilometer atau (10.5 batu) kira-kira 20 kilometer dari kampung Barcelona di timur Pulau Mindanao, kata USGS.
Sementara itu, Agensi seismologi tempatan berkata tiada kerosakan dijangkakan, namun, memberi amaran berkaitan gegaran susulan.
Pegawai bencana, tempatan Ian Onsing yang tinggal di bandar Lingig, berdekatan Kampung Barcelona berkata dia terkejut dengan gegaran tersebut.
"Gegaran itu agak kuat. Saya merasainya. Gegaran itu mengambil masa sekitar 10 hingga 15 saat," kata Onsing kepada AFP melalui telefon.
“Saya tidak menjangkakan sebarang kerosakan lagi, tetapi kami akan melakukan pemeriksaan di kawasan itu semula sekitar pukul 8:00 pagi (waktu tempatan) untuk mendapatkan kepastian,” katanya.
Gempa bumi kerap melanda Filipina yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, lengkok aktiviti seismik dan gunung berapi yang kuat yang terbentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.
Kebanyakannya terlalu lemah untuk dirasai oleh manusia tetapi gempa bumi yang kuat dan memusnahkan datang secara rawak tanpa teknologi yang tersedia untuk meramalkan bila dan di mana ia akan berlaku.
Pada Disember tahun lalu, gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda Mindanao, mencetuskan amaran tsunami.
Kejadian berkenaan menyebabkan penduduk di sepanjang pantai timur pulau itu menyelamatkan diri dengan mengosongkan bangunan dan hospital serta mencari tempat yang lebih tinggi bagi tujuan perlindungan.
Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh pada bencana tersebut.-AFP