fb fb fb fb fb

AS kerah lebih banyak kapal perang dan pesawat pejuang ke Asia Barat

Tentera AS di Asia Barat meningkatkan kesediaan tempur bagi melindungi tentera dan sekutunya daripada sebarang ancaman, termasuk Iran atau kumpulan lain yang disokong oleh negara itu/Foto REUTERS

WASHINGTON, 3 Ogos - Amerika Syarikat akan mengerahkan jet pejuang tambahan dan kapal perang ke Asia Barat, kata Pentagon pada Jumaat dalam memperkukuhkan pertahanan serta melindungi kepentingan berikutan ketegangan di rantau berkenaan.

Pengumuman itu hadir selepas Iran dan sekutunya bersumpah untuk menuntut bela terhadap kematian pemimpin kumpulan pejuang Hamas, Ismail Haniyeh di tehran dan Komander Hezbollah di Beirut baru-baru ini.

"Jabatan Pertahanan AS berusah mengambil langkah berjaga-jaga kemungkinan serangan oleh Iran dan sekutu-sekutunya", kata Setiausaha akhbar Pentagon, Sabrina Singh dalam satu kenyataan.

" Kapal pengangkut yang diketuai oleh USS Abraham Lincoln akan menggantikan kumpulan yang diketuai oleh USS Theodore Roosevelt di kawasan tersebut, kata Singh.

Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin juga telah mengarahkan penghantaran tambahan kapal pemusnah pemusnah yang mampu mempertahankan diri daripada peluru berpandu balistik ke Asia barat dan kawasan di bawah pengawasan Komando Eropah AS, serta skuadron jet pejuang baharu ke rantau berkenaan.

Israel telah membunuh komander Hezbollah Fuad Shukr di Beirut pada hari Selasa, tindakan yang dikatakan sebagai tindak balas terhadap serangan roket maut minggu lalu di bukit Golan.

Beberapa jam kemudian, pemimpin Hamas Ismail Haniyeh telah dibunuh di Tehran.

Sumber yang rapat dengan Hezbollah memberitahu AFP bahawa pegawai Iran pada Rabu telah bertemu dengan wakil-wakil dari kumpulan "pakatan penentangan yang disokong Tehran dan bermusuhan dengan Israel, untuk membincangkan langkah selanjutnya.

"Dua senario telah dibincangkan iaitu tindak balas serentak dari Iran dan sekutunya atau tindak balas secara bertahap daripada setiap pihak," kata sumber itu lagi.

Pada bulan April lepas, Iran telah melancarkan serangan pertama ke Israel melalui peluru berpandu dan dron selepas satu serangan yang dilakukan oleh Israel, membunuh Pengawal Revolusi di konsulat Tehran di Damsyik.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD