fb fb fb fb fb

Gagal hadir kali ketiga, Yoon mungkin dikenakan waran tangkap

Penunjuk perasaan mendesak Yoon Suk Yeol, letak jawatan. Gambar dirakam pada 12 Disember/Foto fail AFP

SEOUL, 29 Disember - Presiden Korea Selatan yang digantung tugas, Yoon Suk Yeol, sekali lagi enggan menghadiri sesi soal siasat oleh Pejabat Siasatan Rasuah Pegawai Tertinggi (CIO) pada Ahad .

Ini merupakan kali ketiga beliau mengingkari arahan penyiasat CIO dalam tempoh dua minggu. 

Yoon tidak hadir di pejabatnya di Gwacheon pada 10 pagi seperti yang diminta oleh CIO.

Yoon, yang dilucutkan kuasanya oleh parlimen pada 14 Disember lalu selepas mengisytiharkan undang-undang darurat, menghadapi tuduhan pemberontakan dan pengkhianatan.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Beliau juga gagal menghadiri sesi pendengaran pada Rabu lepas tanpa memberikan sebarang penjelasan.

CIO kini mempertimbangkan untuk mengeluarkan waran tangkap bagi memaksa Yoon hadir ke sesi soal siasat.

Langkah itu dianggap belum pernah berlaku terhadap seorang presiden yang masih berkhidmat di Korea Selatan.

Mahkamah Perlembagaan turut sedang meneliti proses 'impeachment' atau mencabar presiden untuk membela diri.

Sekiranya Mahkamah Perlembagaan menyokong keputusan itu, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas keputusan dikeluarkan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN