LOS ANGELES, 26 Mac- Seorang remaja perempuan menembak mati dirinya dengan pistol milik seorang pegawai di lobi balai sherif di California.
Gadis yang tidak didedahkan identitinya itu pada mulanya menghempas pintu balai di City of Industry, dekat Los Angeles, pada petang Ahad, namun ketika pegawai membuka pintu, gadis itu berjaya merampas senjata api daripada salah seorang daripada mereka.
“Suspek lalu menerjah ke lobi dan mencapai senjata api salah seorang pegawai bertugas dan mengambilnya,” kata Jabatan Syerif Daerah Los Angeles dalam satu kenyataan berita.
"Pergelutan berlaku antara pegawai tersebut dan remaja berkenaan," kata kenyataan itu.
"Semasa pergelutan, remaja itu mengalami luka tembakan yang dilakukan sendiri."
Gadis itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Detektif kini sedang menyiasat kejadian itu.
Terdahulu, pejabat sherif menerima panggilan kecemasan daripada ibu bapa angkat remaja terbabit yang melaporkan anak gadis mereka mengalami krisis kesihatan mental.
"Ketika pegawai bertugas ke tempat kejadian; remaja berkenaan telah beredar dengan berjalan kaki terlebih dahulu," kata satu kenyataan.
Sementara itu, Jabatan Syerif LA County menerusi satu kenyataan memaklumkan kes tersebut bukan insiden yang melibatkan pegawai sekali gus bermaksud ia bukanlah tembakan yang dimulakan oleh anggota penguat kuasa.
Pertembungan ganas antara polis dan orang awam bukan perkara asing di Amerika Syarikat.
Kaji selidik oleh akhbar Washington Post menunjukkan lebih 1,100 orang telah ditembak mati oleh polis di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan lalu.
Senjata api meragut puluhan ribu nyawa setiap tahun di Amerika Syarikat, sebuah negara yang mempunyai lebih banyak bilangan senjata daripada populasi manusia.-AFP