VIENTIANE, 10 Oktober- Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, mencabar Perdana Menteri China, Li Qiang, berhubung pertembungan terbaharu di Laut China Selatan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Laos.
Li bertemu dengan pemimpin dari 10 negara ASEAN di Laos, sehari selepas perbincangan yang di dominasi mengenai isu perang saudara di Myanmar.
Beberapa bulan kebelakangan ini, telah menyaksikan beberapa siri pertempuran ganas antara kapal China dan Filipina di sekitar perairan terumbu karang dan pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Menurut seorang diplomat Asia Tenggara yang menghadiri pertemuan itu kepada wartawan, Marcos membangkitkan isu terbabit dalam pertemuan dengan Li, dengan berhujah China tidak boleh memisahkan kerjasama ekonomi daripada keselamatan politik.
Pertemuan bersama Li lebih menumpukan kepada isu perdagangan dan ia diadakan pada hari yang sama dengan pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, yang menyatakan China bersetuju untuk menarik balik sekatan ke atas industri udang kara yang memberi keuntungan yang tinggi.
Marcos bagaimanapun mendakwa, ASEAN dan China tidak boleh berpura-pura terhadap semua isu yang dibangkitkan itu berjalan lancar membabitkan faktor ekonomi dan pada masa sama terpaksa berdepan dengan ketegangan politik.
Marcos juga mendakwa, kedua-dua pihak perlu segera melakukan rundingan mengenai kod tatalaku di kawasan laut terbabit.
Menurut draf kenyataan pengerusi sidang kemuncak yang dilihat oleh AFP, pemimpin ASEAN semalam sekali lagi mengulangi seruan mereka untuk berhemah dan menghormati undang-undang antarabangsa di Laut China Selatan.
Kekerapan dan intensiti pertembungan yang semakin meningkat di perairan yang dipertikaikan itu membangkitkan kebimbangan bahawa keadaan boleh bertambah buruk.
"Laut China Selatan adalah isu yang cepat dan hidup dengan risiko nyata bahawa kemalangan boleh mencetuskan konflik," kata Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, kepada rakan pemimpinnya dalam sidang kemuncak ASEAN, semalam.
China mendakwa, hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah laluan perairan yang sangat strategik dan nilai dagangannya memberi trilion dolar pada setiap tahun.
Dalam pada itu, beberapa anggota ASEAN membabitkan Filipina, Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Brunei juga mempunyai tuntutan dalam bersaing terhadap pelbagai pulau dan terumbu karang di kawasan sekitar Laut China Selatan.-AFP