fb fb fb fb fb

EU nyata hasrat capai perjanjian tarif dengan AS dalam masa terdekat

Jurucakap perdagangan EU, Olof Gill -Foto AFP

BRUSSELS, 9 Julai -Kesatuan Eropah (EU) mahu perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat (AS) dicapai dalam masa terdekat, bagi mengelak tarif balas ke atas barangan import AS dikenakan.

Menurut jurucakap perdagangan EU, Olof Gill, sekiranya perjanjian itu gagal, tarif yang lebih tinggi akan dikenakan EU ke atas barangan AS dan berisiko mencetuskan perang perdagangan yang rumit.

"AS telah meminda tarikh akhir untuk memuktamadkan perjanjian dengan negara-negara anggota kepada awal Ogos. Bagaimanapun, kami menyasarkan untuk mencapai perjanjian sebelum itu, malah berpotensi dalam beberapa hari akan datang.

"Kami telah menunjukkan kesediaan kami untuk mencapai persetujuan pada dasarnya," kata Gill.

Tambah beliau, mencapai perjanjian ketika ini bergantung pada kesediaan dan persetujuan oleh kedua-dua pihak dangan lebih banyak rundingan diperlukan untuk menyempurnakannya.

EU menjangkakan Presiden AS, Donald Trump, mengekalkan tarif asas 10 peratus ke atas barangan EU dengan pengecualian untuk sektor kritikal seperti kapal terbang, minuman beralkohol dan kosmetik.

Bagaimanapun, perbincangan di semua peringkat masih diteruskan antara kedua-dua pihak. Suruhanjaya Eropah, yang bertanggungjawab ke atas dasar perdagangan bagi blok itu, boleh meneruskan rundingan sehingga 1 Ogos ini, namun bersedia "untuk semua senario".

Dalam pada itu, EU telah menyediakan tarif balas ke atas barangan import AS bernilai sekitar 100 bilion euro ($AS117 bilion), jika rundingan tidak membawa kepada perjanjian. -AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI