(Penduduk tempatan berdiri di hadapan bangunan pangsapuri yang rosak berikutan serangan peluru berpandu di Kramatorsk,
wilayah Donetsk pada 31 Ogos 2022, di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine/AFP)
BRUSSELS, 1 September- Kesatuan Eropah (EU) telah membuka pusat perubatan di bandar Rzeszow di timur Poland bagi menjaga pesakit Ukraine yang menunggu penerbangan untuk pemindahan.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menyebabkan ruang udaranya tidak selamat untuk penerbangan dan sekutu Kiev telah memindahkan mereka yang sakit dan cedera merentasi sempadan darat ke Poland untuk rawatan.
Jurucakap EU, Balazs Ujvari berkata hub baharu itu akan mewujudkan satu ruang selamat untuk rakyat Ukraine.
Selain orang awam dan anggota tentera menerima penjagaan kejururawatan, vaksinasi dan sokongan psikologi.
(EU mengkoordinasikan bantuan untuk orang yang melarikan diri dari perang di Ukraine/Foto fail AFP)
Pusat tersebut terletak di luar lapangan terbang Rzeszow-Jasionka, 80 kilometer (50 batu) dari sempadan Ukraine.
Dua penerbangan pemindahan setiap minggu yang disediakan oleh Norway akan membawa pesakit ke hospital di seluruh benua, mengurangkan tekanan ke atas negara jiran Ukraine, Poland, Slovakia dan Moldova.
"Jumlah orang yang cedera di Ukraine bertambah setiap hari dan hospital yang sudah kekurangan bekalan sedang bergelut untuk memenuhi keperluan.
"Pada masa sama, kemusnahan kemudahan penjagaan kesihatan menghalang pesakit kronik daripada rawatan yang mereka perlukan untuk terus hidup. Kami tidak boleh meninggalkan mereka ini," kata Pesuruhjaya Pengurusan Krisis EU, Janez Lenarcic.
Program pemindahan EU yang lebih luas telah dilaksanakan sejak 11 Mac, dua minggu selepas pencerobohan Rusia dan telah mengangkut 1,143 pesakit Ukraine ke 18 negara Eropah.-AFP