fb fb fb fb fb

Erdogan tuduh Israel cuba gagalkan 'Revolusi Syria'

Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa (tengah), mempengerusikan mesyuarat pertama kabinet menteri baharu di Damsyik. / Foto AFP

ANTALYA, 12 April – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menuduh Israel cuba memecahbelahkan Syria bagi menggagalkan "revolusi" yang menumbangkan bekas Presiden, Bashar al-Assad.

Turki kini menjadi penyokong utama pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, yang mengetuai kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dalam pakatan pejuang yang menjatuhkan Assad pada Disember lalu.

"Israel cuba meletupkan revolusi 8 Disember dengan memainkan isu perkauman dan keagamaan serta memecahbelahkan masyarakat minoriti di Syria," kata Erdogan dalam satu forum diplomasi di sini.

Sharaa, yang tiba di Antalya lebih awal pada hari yang sama, telah bertemu Erdogan di forum tersebut. Pejabat Presiden Turkiye turut memuat naik gambar mereka berjabat tangan di platform media sosial X.

Kementerian Luar Syria turut mengesahkan pertemuan itu dalam satu kenyataan yang menyatakan, perbincangan menekankan sokongan Turki terhadap rakyat Syria dalam aspek pembinaan semula dan usaha menamatkan sekatan ekonomi terhadap negara itu.

Turut disentuh dalam pertemuan itu ialah usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.

Ini merupakan lawatan kedua Sharaa ke Turkiye sebagai pemimpin, selepas kunjungan pertamanya ke Ankara pada Februari lalu. Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Qatar.

Kenyataan Erdogan itu hadir ketika pegawai Turkiye dan Israel memulakan rundingan minggu ini bagi meredakan ketegangan berkaitan Syria.

Israel sebelum ini melancarkan serangan udara dan darat bagi menghalang kemaraan tentera Syria ke kawasan sempadannya, sekali gus menerima kritikan daripada Ankara.

Menurut satu sumber Syria, Turkiye merancang untuk mewujudkan "pos tentera" di Syria, termasuk di dalam Pangkalan Udara T-4 di wilayah Homs yang baru-baru ini menjadi sasaran serangan Israel.

Mesyuarat teknikal pertama antara Turki dan Israel berlangsung di Azerbaijan pada Rabu, menurut sumber Kementerian Pertahanan Turki.

Dalam satu temu bual pada hari sama, Menteri Luar Turki Hakan Fidan menjelaskan bahawa rundingan itu tidak bermaksud kedua-dua pihak akan menormalisasikan hubungan yang tegang akibat perang Israel-Hamas di Gaza.

Penganalisis daripada badan pemikir Century International, Aron Lund, berkata Israel dan Turki tidak mungkin mencapai kata sepakat tentang hala tuju Syria.

"Kedua-dua negara tetap akan terus aktif secara ketenteraan di Syria," katanya kepada AFP.

Namun, rundingan tersebut dilihat penting dalam mencari jalan agar kedua-duanya dapat "wujud bersama dan mengurus ketegangan tanpa mencetuskan ketidakstabilan yang lebih besar".

Pengaruh Turki ke atas pentadbiran baharu Syria turut menimbulkan kebimbangan Israel, yang menganggap pasukan Sharaa sebagai puak jihad.

Israel telah melancarkan ratusan serangan ke atas lokasi ketenteraan di Syria sejak kejatuhan Assad.

"Israel kini menjadi negara bermasalah yang secara langsung mengancam kestabilan rantau Asia barat, terutamanya dengan serangan ke atas Lebanon dan Syria," tegas Erdogan di forum tersebut.

Beliau menyifatkan revolusi Syria sebagai peluang untuk mengembalikan kestabilan ke rantau itu.

"Kami tidak akan membiarkan Syria ditarik semula ke dalam kancah ketidakstabilan," katanya, sambil menambah bahawa serangan Israel menjejaskan usaha memerangi kumpulan pengganas Daesh.

Turki juga telah menggantung semua perdagangan dengan Israel, dengan Erdogan menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, melakukan "pembunuhan beramai-ramai" di Gaza susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan peperangan.

Pada Jumaat, Erdogan sekali lagi mengecam Israel selepas serangan udara sebelum subuh di Khan Yunis yang dikatakan telah meragut 10 nyawa daripada satu keluarga, termasuk tujuh kanak-kanak.

“Pagi ini sahaja, 10 orang termasuk tujuh kanak-kanak dari keluarga yang sama telah syahid di Khan Yunis. Jika ini bukan kebiadaban, maka apakah ia?” kata Erdogan dalam forum berkenaan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD