DAMSYIK, 8 Disember-Pemerintahan Bashar al-Assad di Syria dilaporkan berakhir susulan serangan oleh pasukan penentang yang berjaya merampas Damsyik, menurut seorang pegawai tentera Syria yang dimaklumkan tentang perkembangan itu kepada Reuters.
Kumpulan penentang kerajaan mengisytiharkan bahawa ibu kota Syria kini "bebas daripada Assad" dalam satu kenyataan yang mencetuskan sorakan kegembiraan di kalangan rakyat yang sudah lama tertindas.
Presiden Syria, Bashar al-Assad dilaporkan meninggalkan Damsyik menuju destinasi yang tidak diketahui, menurut dua pegawai tentera kanan pada Ahad, selepas pasukan penentang kerajaan mengumumkan kejayaan memasuki ibu kota tanpa tentangan daripada tentera Syria.
Ribuan penduduk yang menaiki kenderaan dan berjalan kaki dilihat berkumpul di dataran utama di sini meraikan kejayaan tersebut sambil membawa bendera dan melaungkan slogan Kebebasan menurut saksi.
"Kami meraikan bersama rakyat Syria berita pembebasan tahanan dan pengakhiran era kezaliman di Penjara Sednaya," kata kumpulan penentang.
Penjara Sednaya, sebuah penjara tentera besar di pinggir Damsyik, sebelum ini menahan ribuan individu di bawah pentadbiran Assad.
Data penerbangan menunjukkan sebuah pesawat Syrian Air berlepas dari Lapangan Terbang Damsyik sebelum dilaporkan ibu kota itu jatuh ke tangan pasukan penentang kerajaan.
Pesawat itu terbang ke kawasan pantai Syria, kubu kuat puak Alawite yang mendukung Assad, sebelum berpatah balik secara mendadak dan hilang daripada radar.
Hanya beberapa jam sebelum itu, pemberontak mengumumkan penguasaan penuh ke atas bandar strategik Homs selepas pertempuran sengit.
Kejayaan itu menandakan kejatuhan pemerintahan 24 tahun Bashar al-Assad yang kini berada di ambang kehancuran.
Suasana di Homs berubah apabila penduduk berpesta di jalanan selepas tentera kerajaan berundur.
Mereka menari dan melaungkan slogan seperti "Assad telah pergi, Homs telah bebas" dan "Hidup Syria, jatuh Bashar al-Assad". Patung mendiang Presiden Hafez al-Assad, ayah Bashar, turut diruntuhkan oleh penduduk.
Penguasaan pemberontak ke atas Homs, kawasan strategik yang menjadi nadi Syria, serta ancaman terhadap Damsyik, membawa risiko besar kepada pemerintahan lima dekad keluarga Assad.
Kejatuhan itu turut mencetuskan kebimbangan di kalangan negara serantau, termasuk Qatar, Arab Saudi, Turki, dan Rusia, yang menyeru penyelesaian politik segera.
Namun, tiada konsensus dicapai mengenai tindakan konkrit untuk menangani situasi yang terus berubah setiap jam.
Perang saudara Syria, yang bermula pada 2011 sebagai kebangkitan rakyat, telah mencetuskan ketidakstabilan serantau, menyebabkan jutaan pelarian ke negara jiran, dan menarik campur tangan kuasa besar global.
Hayat Tahrir al-Sham (HTS), kumpulan penentang utama yang sebelum ini mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, kini mengetuai kebangkitan di Syria.
Pemimpin HTS, Abu Mohammed al-Golani, menyifatkan kejayaan di Homs sebagai detik bersejarah sambil menggesa pejuang agar tidak mencederakan mereka yang menyerah diri.
Bagaimanapun, wujud kebimbangan terhadap kemungkinan HTS melaksanakan peraturan Islam yang keras di kawasan yang dikuasainya, meskipun Golani berusaha meyakinkan minoriti dan komuniti antarabangsa bahawa kumpulan itu tidak akan mencetuskan serangan ke luar negara.-REUTERS.