(Jurulatih England, Sarina Wiegman/AFP)
SYDNEY, 20 Ogos- Sejarah akan tercipta dalam Piala Dunia Wanita hari ini apabila England dan Sepanyol bertembung dalam perlawanan akhir di sini dengan kedua-duanya berusaha untuk muncul juara dunia buat kali pertama.
Kedua-dua pasukan kali terakhir bertemu di Kejohanan Eropah musim panas lalu apabila tuan rumah, England memerlukan masa tambahan untuk menewaskan Sepanyol 2-1 di pusingan separuh akhir dan seterusnya menjulang trofi.
Kira-kira 75,000 tiket telah habis dijual untuk perlawanan di Stadium Australia hari ini.
Sepak mula dijadualkan pada 1000 GMT (6.00 petang waktu Malaysia).
Ratu Letizia dari Sepanyol antara yang akan hadir.
Pengerusi Persatuan Bola Sepak England, Putera William yang tidak ke Australia menghantar video penaik semangat dengan anak perempuannya, Charlotte duduk di sebelah.
"Kami minta maaf kerana kami tidak dapat berada di sana secara peribadi tetapi kami sangat berbangga dengan pencapaian anda, termasuk memberi inspirasi kepada berjuta-juta individu di sini dan di seluruh dunia."
Mana-mana pasukan yang menang, akan menjadi nama baharu dalam senarai juara Piala Dunia Wanita selain Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun.
Amerika Syarikat yang memburu kejuaraan ketiga berturut-turut, tewas kepada Sweden menerusi penentuan sepakan penalti di pusingan 16 terakhir. -AFP
(Pengurus England, Sarina Wiegman dan pemain berada di Stadium Australia, Sydney/REUTERS)